10 Perkara Penting Yang Isteri Perlu Uruskan Selepas Kematian Suami

Assalamualaikum semua,

Lama dah tak menulis di blog. Sunyi blog ni sama seperti kesunyian kehilangan orang yang dikasihi 12 Disember 2018 yang lalu. Apapun kehidupan mesti diteruskan dan semangat perlu terus disemarakkan buat 4 orang permata dan seorang yang akan dilahirkan selepas raya nanti. Apa yang saya kongsikan mungkin dapat membantu sahabat-sahabat atau ada ahli keluarga yang mungkin diuji juga. Apapun yakinlah sesungguhnya Allah dah atur yang terbaik.


Berikut adalah beberapa perkara yang saya selesaikan buat arwah suami tercinta agar mudah urusan kita di dunia dan juga arwah di sana.

Gambar Hiasan

1. Pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara

Sayu rasa hati masa melakukan proses ni tapi apakan daya ia mesti dilakukan. Prosidur ini mesti dilakukan dalam tempoh 7 hari dari tarikh kematian. Sama macam kalau mendaftarkan anak. 

Dokumen yang diperlukan;-
  • Salinan Daftar Kematian/Permit Mengubur JPN.LM02 (Pin.1/11) yang berwarna biru Hari kejadian yang biru bagi pada masjid, so saya bagi yang kuning. Saya buat salinan untuk kegunaan yang lain.
  • Kad Pengenalan atau dokumen pengenalan diri si mati yang asal
  • Kad Pengenalan atau dokumen pengenalan diri pemaklum; (asal dan salinan)
  • Perakuan oleh Pengamal Perubatan mengenai sebab-sebab kematian yang asal [Borang JPN.LM09 atau JPN.LM10 (Post Mortem)] sekiranya kematian berlaku di hospital. Macam kes arwah, ada satu salinan menyatakan pending investigation yang dikeluarkan doktor.



Siapa yang boleh buatkan pendaftaran dan kutipan sijil kematian. 
  • Ibu atau bapa si mati;
  • Suami atau isteri si mati;
  • Anak-anak si mati;
  • Adik-beradik kandung si mati
Tiada bayaran pun dikenakan. Boleh rujuk ke website JPN ye.  

2. Mengumpul barang-barang penting milik arwah

Perkara ini sangat penting terutamanya kad pengenalan arwah. Kebetulan kami baru lepas kemalangan. Masa tu wallet arwah entah ke mana tapi kad-kad yang bertaburan dalam kereta sempat dikutip. Arwah suami memang seorang yang cermat. Diletak dalam satu beg kecil bagi memudahkan urusan walau belum sempat mencari wallet baru. Saya semak satu-satu kad-kad bank seperti IC anak-anak, kad bank, takaful, membership dan lain-lain.

Penting untuk saya tahu untuk tindakan lanjut saya bagi menyelesaikan segala urusan arwah. Harapan saya tidak ada harta dan hutang di dunia yang menyekat arwah di sana. Walaupun sedih, saya bertanggungjawab untuk selesaikan tugasan dan amanah ini.

3. Mengeluarkan Wang Tunai di bank

Saya mulakan dengan yang paling mudah iaitu pengeluaran wang tunai. Alhamdulillah mudah urusan arwah. Password memang kami sentiasa berkongsi. Tapi arwah tahu saya pelupa, arwah siap bagi hint untuk nombor pin dia sebenarnya nombor apa supaya senang ingat.

Paling utama keluarkanlah segala cash yang ada dibank semampu yang boleh sebelum diblock. Jangan tanya waktu bila bank akan block, saya juga tak pasti. So far, yang saya tengok selagi saya belum declare dibank, bank tak akan block immediately sehingga la saya selaku waris buat declaration.

Ada yang kata saya buat perkara illegal sebab keluarkan duit arwah. Tapi saya fikir saya perlu keluarkan untuk kelangsungan keluarga dan juga ia tugas saya sebagai pasangan untuk selesaikan urusan arwah terutama hutang dan untuk pembahagian faraid nanti. 

Pesanan saya bagi mereka yang masih berpasangan, berkongsikanlah segalanya maklumat bersama untuk memudahkan urusan. Kita tak tahu apa akan terjadi di masa akan datangkan. Antara yang boleh anda kongsikan ;-
  • pin nombor kad atm
  • password internet banking dan emel
  • berapa hutang sedia ada pasangan dan pada siapa terutama yang cash
  • apa yang henda dibeli sama ada secara tunai atau hutang
  • berapa kad kredit

Semua bendalah mesti kita kongsikan. Tak perlu terlalu terlalu berrahsiakan sebab maklumat-maklumat ini sangat penting jika berlaku perkara yang tidak kita jangkakan. 

4. Apply Keputusan Post Mortem

Tak semua orang yang meninggal dunia perlu melalui Post Mortem. Pada mulanya, kami sekeluarga menyatakan tak perlu. Tapi untuk kes arwah suami, arwah pergi diusia yang mudah dan meninggalnya di rumah. Polis memang suggest buat post mortem bagi memudahkan urusan yang hidup untuk elakkan ada kes. Bersangka baiklah dan doa dipermudahkan urusan. Arwah di bawa ke PPUM untuk urusan ini dan mengenalpasti punca kematian. 

Result tak dapat immediate. Kalau yang memang ada rekod sakit di hospital dan dalam rawatan lebih mudah. Untuk arwah, pelbagai sample perlu dihantar ke lab untuk ujian. Doktor beri anggaran dalam tempoh sebulan. 

Ini kesilapan saya. Saya ingatkan result doktor atau polis akan telefon saya maklumkan result post mortem siap. 

Rupanya result post mortem saya boleh request ke bahagian maklumat pesakit selepas selesai urusan pengebumian. Lebih cepat lebih baik. Dah request baru bahagian ini akan buat permohonan kepada doktor berkenaan untuk dapatkan result penuh dan akan menghubungi waris untuk mengambil keputusan.

Cara-cara permohonan
1. Isi borang permohonan
2. Sertakan dokumen seperti Sijil kematian JPN, Sijil Nikah dan kad pengenalan pemohon
3. Bawa juga dokumen original untuk semakan pegawai
4. Setiap permohonan perlu membayar RM80 (Ikut hospital yang dirujuk ye)

Salute akak dekat kaunter PPUM explain pada saya dengan tenang.. Tak senyum mana pun tapi tenang.. Khidmatmu ku kenang.. Syukur sangat

5. Permohonan Urusan Takaful/ Insuran 

Buat semakan sama ada arwah ada memiliki sebarang takaful atau insuran. Untuk claim, prosidur kedua di atas perlu diulang bagi setiap urusan takaful seperti takaful syarikat dan persendirian menggunakan borang yang telah disediakan oleh syarikat takaful/ insuran dengan dokumen yang sama.  Kalau boleh kumpulkan semua borang-borang berkaitan dan hantar serentak. Setiap satu permohonan dengan bayaran RM80 ye.

Alhamdulillah, saya dapat panggilan dari PPUM dalam tempoh 2 bulan menyatakan boleh datang ambil keputusan.  


6. Pengeluaran KWSP

Seperti yang kita ketahui KWSP sentiasa kita ingat untuk letak penama. Tapi unik kes akaun arwah, kami sentiasa ke KWSP bersama tapi arwah tak sempat letak penama. Mungkin ini ilmu yang Allah nak berikan pada saya untuk dikongsikan bersama.

Kenapa perlu penama? Penama ini memudahkan kita membuat pengeluaran penuh tanpa perlukan surat kuasa.  Bukan bermakna duit itu milik penama. Itu tetap harta arwah yang perlu difaraidkan. Bila ada penama, urusan lebih mudah.

Siapa yang kita nak letakkan penama?
1. Letak nama orang yang paling anda percaya dan boleh membantu pembahagian hak yang tinggal dan faraid lebih cepat.
2. Elakkan letakkan terlalu ramai nama. Kadang-kadang kita suka bahagi-bahagi ikut percent (%) tu.. Tapi ia akan menyukarkan pengeluaran nanti kerana ramai yang perlu turun untuk membuat pengeluaran. Mudahkan urusan dan pilih seorang sahaja adalah yang terbaik. Ingat yang anda rasa amanah untuk melakukan tugasan ini.
3. Jangan letak nama anak bawah 18 tahun. Ia menyukarkan keadaan dan perlu menunggu anak cukup umur baru boleh.. Kesian.

a) Memohon Semakan Penama

Anda perlu memulakan dengan menyemak siapakah penama akaun. Isi borang khas semakan penama dengan dokumen iaitu salinan sijil nikah, kad pengenalan pemohon dan sijil kematian. Ambil nama dan ke kaunter berjumpa pegawai KWSP untuk mereka semakan.

b) Memohon Pengeluaran

Isi borang pengeluaran kematian. 

Jika ada penama urusan lebih mudah. 
Jika tiada penama, masih ada jumlah yang dibenarkan pengeluaran. 
1. Pemohon hanya akan diberi pendahuluan khairat kematian dan sejumlah amaun untuk permulaan dalam anggaran RM20,000 (Faraid)
2. Baki selebihnya, pegawai KWSP akan printkan penyata untuk dibawa kena ke mahkamah syariah atau permohonan surat kuasa di pejabat tanah untuk urusan pengeluaran.  Penyata ini perlu dikepilkan semasa membuat permohonan.

7. Permohonan Pencen Penakat PERKESO @ SOCSO

Pergilah ke Perkeso untuk semakan sama jika kita tahu pasangan ada membuat caruman bulanan Perkeso. Ada kelayakan semua yang memerlukan semakan pegawai. Alhamdulillah kami layak.

Cara Memohon
Isi borang 34 yang boleh diprint dari website dan sediakan dokumen diperlukan.

  • Salinan kad pengenalan 
  • Sijil kematian arwah (asal dan salinan)
  • Sijil nikah (asal dan salinan)
  • Kad pengenalan isteri (asal dan salinan)
  • Sijil lahir dan kad pengenalan anak-anak (asal dan salinan)
  • Salinan penyata bank untuk tujuan kemasukan duit

Salinan asal mesti sentiasa dibawa untuk pengesahan pegawai. Alhamdulillah akan diuruskan oleh Perkeso khairat kematian dan juga belanja bulanan isteri dan anak-anak. Sama seperti ketika arwah ada insyaallah. Moga pahala ini terus mengalir kepada arwah dengan setiap perbelanjaan ke jalan yang baik. Insyaallah.


8. Penutupan Akaun dan Pemindahan Saham (jika ada)

Selepas mengenalpasti semua bank yang arwah miliki, saya pergi menyelesaikan satu persatu dengan membawa dokumen penting original dan juga salinan. Setiap bank mungkin memerlukan dokumen yang berbeza tapi pastinya dokumen utama
1. Sijil Kematian arwah
2. Sijil Nikah
3. Kad pengenalan saya sendiri (waris)
3. Salinan Penyata Akaun Bank (untuk transfer sebarang baki ke akaun waris - faraid) 

a) Bank Rakyat

Saya tahu arwah merupakan anggota Bank Rakyat iaitu arwah memiliki saham arwah. Antara yang akan diterima oleh waris seorang anggota adalah ;-

  • khairat kematian (boleh digunakan)
  • pemindahan saham (faraid) dan 
  • baki akaun arwah (faraid). 
Urusan ini perlu declare dalam masa 3 bulan dari tarikh kematian arwah. 

Cara-cara permohonan
1. Bawa dokumen seperti di atas tadi
2. Isi borang penutupan saham arwah dan akaun simpanan
3. Isi borang permohonan transfer saham arwah pada isteri jika isteri juga merupakan anggota koperasi.
4. Isi juga penama untuk diri anda sendiri.

b) Tabung Haji

Saya usaha menutup akaun Tabung Haji arwah. Rupanya akaun ini juga ada penama yang saya sendiri tak perasan. Bila buat semakan pada akaun arwah, penama adalah mak dan abah arwah iaitu mertua saya. Penama perlu hadir ke bank. Akaun ini tidak dapat saya tutup disebabkan ayah mertua saya tidak berapa sihat. Doakan ayah mertua saya terus diberi kesihatan ye. 

Mengikut kata pegawai, 
1. Jika amaun baki lebih RM1,000, perlukan surat kuasa untuk pengurusan.
2. Jika amaun kurang dari RM1000 dan ada penama, boleh uruskan penutupan akaun terus.
3. Jika amaun kurang dari RM1000 dan tidak ada penama, perlu ada dua waris perlu isi borang ye untuk uruskan penutupan akaun.
4. Isi juga borang penamaan untuk diri sendiri ye.

Khairat kematian ada disediakan untuk jemaah haji sahaja.

c) Bank-bank lain termasuk ASB (jika ada)

Bagi akaun-akaun lain termasuk , penutupan akaun perlu dilakukan menggunakan dokumen yang sama. Mohon la borang dikaunter. 

9. Penyelesaian Hutang Tertunggak

Selain itu, saya kenal pasti hutang-hutang pada bank seperti hutang rumah, kenderaan, kad kredit. Ada yang mempunyai kelayakan untuk kita membuat claim takaful. Berhubung terus dengan call center atau terus ke kaunter bank. Semakan akan dibuat oleh pegawai. 

Gunakan duit yang mana boleh dikeluarkan tadi untuk menyelesaikan hutang-hutang ini semampu yang boleh. Insyaallah kita memudahkan urusan arwah di sana. 

10. Permohonan Sebagai Pengurus Harta Alih dan Tak Alih

Selebihnya yang tidak dapat dikeluarkan, saya pergi ke pejabat tanah mengikut daerah masing-masing dan mengisi borang pembahagian pusaka kecil. Di dalam borang ini, kita perlu declare yang mana belum diselesaikan dan perlukan surat kuasa untuk diuruskan.

  • Harta tidak alih seperti rumah
  • Harta alih seperti tunai, saham, KWSP, kenderaan
  • Hutang arwah
  • Nama waris-waris
Borang ini perlu diisi dan mesti ke pesuruhjaya sumpah untuk pengesahan. Setiap satu detail mesti disertakan dokumen lampiran berkaitan. Selepas penghantaran, urusan ini mengambil masa 2 bulan lebih untuk mendapat surat kuasa ini. 


Selesai semua di atas saya rasa sangat lega kerana dah memudahkan urusan arwah. Selebihnya tugas kami sekeluarga terus mendoakan arwah agar ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Semoga perkongsian saya ini, ada manfaat yang diterima arwah. Insyaallah

Shidah Abdullah
Aku seorang Isteri 


Read More
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...